Wednesday, June 30, 2010

Adat Perkahwinan Kaum Bajau di Kota Belud

MERISIK

Adatnya tidak banyak bezanya daripada adat masyarakat melayu. Sebelum perkahwinan berlangsung, upacara merisik terlebih dahulu dilakukan terhadap gadis yang menjadi calon.

Caranya hampir sama dengan cara yang diamalkan oleh suku kaum yang lain iaitu dengan melantik wakil bagi menemui keluarga gadis.

Setelah mendapat kepastian bahawa gadis itu belum ada ikatan apa-apa dan secocok dengan keinginan pihak lelaki tentang rupa paras, budi bahasa serta martabat keluarganya, barulah diikuti dengan upacara seruan yakni menyimpul tali pertunangan.

MEMINANG

Upacara meminang dilakukan dalam satu majlis yang dinamakan seruan. Dalam majlis itu, pihak lelaki membawa sebentuk cincin, sepersalinan pakaian dan wang tunai sebanyak RM100.00 sebagai pengikat tali pertunangan.

Masa pertunangan biasanya berlangsung selama setahun untuk membolehkan pihak lelaki membuat persediaan.

Apabila tempoh yang ditentukan tiba, pihak lelaki menghantar semua barang yang dijanjikan dalam majlis seruan itu kepada pihak perempuan. Dalam majlis penyerahan barang-barang tersebut, tarikh perkahwinan ditentukan.

MAJLIS PERKAHWINAN

Keluarga yang berada mengadakan majlis tujuh hari sebelumnya, tiga hari bagi keluarga sederhana dan sehari bagi keluarga miskin.

Sepanjang hari tersebut, pada sebelah malamnya majlis titik diadakan yakni memainkan alat muzik yang terdiri daripada kuling tangan, gong bebandil dan gegendang di tempat kediaman kedua-dua pihak.

Majlis ini mungkin berlangsung hingga larut malam kemudian diikuti dengan tarian tradisional yang dikenali sebagai runsai.

SEBELUM HARI PERKAHWINAN

Sehari sebelum hari perkahwinan, bakal pengantin lelaki dan perempuan akan didandan oleh beberapa orang mak andam.

Dandanan ini termasuklah mandi bedak dengan ramuan bedak tepung beras yang bercampur bunga-bungaan pada sebelah malam.

PADA HARI PERKAHWINAN

Pengantin dihias dengan pakaian baru,selalunya berwarna kuning ataupun hijau,ataupun baju serimpak.

Beberapa das tembakan dilepaskan sebagai tanda hormat dan alu-aluan akan ketibaan rombongan pengantin lelaki di halaman rumah pengantin perempuan.

Pengantin lelaki akan turun dari tandu ataupun kudanya dijulang diatas bahu anggota rombongan atau didukung masuk kerumah pengantin rumah perempuan.

SETELAH TIBA WAKTUNYA

Pengantin lelaki akan mengambil wuduk dan majlis akad nikah dilangsungkan. Pengantin lelaki akan masuk ke bilik pengantin perempuan untuk upacara membatalkan wuduk.

Pengantin lelaki dan rombongannya harus melalui beberapa lapis tabir yang dijadikan halangan.Setiap tabir itu akan dibuka selapis demi selapis dan harus membayar wang tebus.

SETELAH TIRAI DIBUKA

Setelah pengantin lelaki membatalkan air sembahyang dengan menyentuh dahi isterinya,kedua-dua mempelai tersebut disandingkan.

Kemudian kedua-dua pengantin keluar untuk bertemu dan bersalaman dengan tetamu.

Foto-foto.










Maklumat tambahan boleh didapati di sini.
Photobucket
Ahli Kelab Pelancongan SMK Pekan II Kota Belud bersama guru penasihat bagi tahun 2010.