Friday, August 13, 2010

Tikar Mengkuang/Pandan.





Tikar Mengkuang/Pandan.

Tikar Mengkuang/Pandan.

Daun-daun pandan atau mengkuang yang cukup tua dipotong dari batang pokoknya sehelai demi sehelai. Kemudian pangkalnya diratakan dan hujungnya dipotong sama panjang. Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di atas bara sehingga layu dan dibuang tulang belakang dan durinya dengan alat yang dipanggil jangka. Cara anyaman tikar mempunyai pelbagai corak dan motif. Diantaranya adalah dikenali sebagai kelarai. Semua jenis kelarai adalah berunsurkan alam semulajadi iaitu seperti tumbuh-tumbuhan, bunga, fauna dan sebagainya.

Unsur-unsur tumbuhan seperti akar, pucuk rebung dan tampuk (jantung pisang, manggis, pinang) selalu digunakan. Daripada unsur bunga pula ia menggunakan motif bunga tanjung, bunga melur dan bunga durian. Unsur-unsur fauna pula ada motif berbentuk anak ikan, kepala gajah, tulang ikan dan mata punai. Akhir sekali, bentuk bebas dengan motif seperti kelarai belah ketupat, kelarai beras patah dan kelarai madu manis.

Tikar mengkuang yang lebar bilah anyamannya (tikar bangkar) biasanya diperlakukan untuk menjemur padi, mengalas lantai dapur atau jemuran, melapik punggung di dangau dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk kegunaan demikian tidak dicelupkan warna, berbanding dengan tikar yang dikhaskan untuk tetamu. Tetamu dibentangkan tikar yang bukan sahaja halus anyamannya malah bercorak menarik dan berwarna-warni.

Pada kebiasaannya, tikar mengkuang/pandan yang dianyam berwarna-warni akan diletakkan di dalam bilik tidur kerana ia menyerlahkan lagi kecantikkan bilik tersebut.

Anyaman Pandan dan Mengkuang

Pandan dan mengkuang tumbuh subur di tepi-tepi alur, paya, sungai dan kawasan-kawasan yang menggenangi air tawar di seluruh nusantara. Tidak hairanlah seni menganyam pandan dan mengkuang tersebar luas. Dengan itu, pelbagai barangan dapat dihasilkan daripada anyaman pandan dan mengkuang. Pandan dan mengkuang adalah tumbuhan daripada spesis yang sama. Daun mengkuang lebih lebar, tebal dan panjang daripada daun pandan. Oleh yang demikian, biasanya mengkuang digunakan untuk menganyam benda-benda yang lebih besar dan kukuh berbanding dengan benda-benda yang diperbuat daripada pandan. Namun begitu, bilah anyaman mengkuang tidak semestinya lebih lebar daripada bilah anyaman pandan.

Kelebaran bilah anyaman dikaitkan dengan kehalusan hasil kerja, lebih kecil bilah, lebih halus hasil kerjanya. Hasil kraf yang halus pembuatannya mempunyai nilai hiasan yang tinggi. Sebaliknya, hasil kraf yang kasar lebih menekankan ciri fungsional. Tikar mengkuang yang lebar anyamannya biasanya digunakan untuk menjemur padi, mengalas lantai dapur atau jemuran dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk kegunaan demikian tidak dicelupkan warna, berlainan daripada tikar yang dikhaskan untuk tetamu. Tetamu dibentangkan tikar yang bukan sahaja halus anyamannya malah bercorak dan berwarna-warni.

Memproses Bahan

Daun-daun yang cukup tua ditetak di pangkalnya sehelai demi sehelai, bermula di bahagian umbi pokok. Tujuh atau lapan helai daun muda di keliling umbut pokok tidak ditetak tetapi ditinggalkan untuk tuaian seterusnya serta untuk memastikan pokok itu terus hidup dan mengeluarkan daun-daun baru. Menetak daun dilakukan dengan berhati-hati kerana pandan dan mengkuang berduri-duri, sedangkan tanah dikeliling perdunya lazimnya berair dan licin atau mudah perlus. Daun-daun yang sudah ditetak kemudian dipangkas hujungnya untuk membuang bahagian yang tirus dan tidak dapat dibelah, serta supaya semua daun itu hampir sama panjang. Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di atas bara unggun api kecil hingga layu.

Kadangkala daun-daun itu tidak dilayur tetapi dijemur hingga benar-benar kering dan layu. Tujuannya ialah mematikan sel daun dan menyingkirkan air yang terdapat di dalamnya. Setelah daun-daun itu layu, duri yang terdapat pada tulang belakang dan sayap mengkuang dibuang dengan sautas serat sabut yang diregangkan ibu jari dan jari telunjuk. Apabila duri belakang daun dibuang, dengan sendirinya daun terbelah menjadi dua. Belahan itu kemudian dibelah lagi mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan alat yang dipanggil jangka. Belahan-belahan yang siap dijangka dikumpulkan dan diikat sebesar betis dengan jarak kira-kira satu kaki dari satu ikatan ke satu ikatan lain. Belahan yang berikat itu dititik atau dipukul dengan alu supaya lembut dan mudah dilurut.

Melurut melembutkan belah dan melicinkan permukaannya. Belah yang sudah dilurut dilipat tetapi tidak sampai patah lalu diikat dan direndam di dalam air selama dua atau tiga hari. Dalam tempoh itu, air rendaman digantikan sekurang-kurangnya dua kali supaya bilah-bilah itu tidak lebam dan berbau busuk.

Pada hari ketiga atau keempat, bilah-bilah itu dikeluarkan dan dibasuh dan dibilas hingga bersih sebelum dijemur. Bilah yang cukup kering akan bertukar menjadi putih. Seterusnya, bilah itu bolehlah diwarnakan jika mahu. Bilah-bilah mengkuang atau pandan diwarnakan dengan cara mencelup, iaitu merebusnya bersama bahan celup pewarna selama beberapa minit. Dahulu, cuma tiga warna yang popular iaitu merah, hijau dan kuning kerana bahan celup warna-warna tersebut mudah diperolehi. Warna merah daripada pokok kesumba, hijau daripada daun bemban, dan kuning daripada daun kunyit. Tetapi, sekarang bahan celup pelbagai warna dijual dengan meluas. Apabila sudah dicelup dan dijemur hingga kering, bilah-bilah dilurut bagi kali terakhir supaya lebih licin dan lembut.

Menganyam

Cara anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda yang ingin dihasilkan serta corak hiasan yang dipilih. Anyaman tikar misalnya, boleh dimulakan di tengah-tengah ataupun di bucu. Tetapi, bagi tudung saji, anyaman mesti dimulakan di puncaknya yang berbentuk kon. Kon puncak itu boleh digantungkan atau diketengahkan untuk meneruskan anyaman tudung saji.

Corak anyaman umumnya disebut kelarai. Bagaimanapun, khususnya untuk tikar mengkuang, kelarainya dirujuk sebagai ragi. Kelarai dibuat dalam pelbagai motif dan peranannya sama seperti corak bunga dalam tenunan, iaitu sebagai suatu ciri perhiasan. Anyaman kelarai disusun secara tunggal dan lepas (menyeluruh) atau disusun di dalam ruang tertentu. Susunan menegak disebut kelarai berdiri dan susunan sendeng, kelarai serong. Untuk hiasan pinggir atau birai pula terdapat satu kelarai khusus iaitu kelarai pucuk rebung.

Semua jenis kelarai berunsurkan alam semula jadi. Di kalangan masyarakat Melayu, motif tumbuhan menjadi pilihan utama. Daripada bentuk bunga, terdapat kelarai bunga atur, berembang, cengkih dan cengkih beranak, bunga cina, bunga durian, bunga kundur, bunga pecah lapan, bunga tanjung, bunga telur, dan bunga rumput. Unsur-unsur tumbuhan yang lain termasuk akar, pucuk (rebung) dan tampuk (jantung pisang, manggis, pinang). Daripada unsur fauna pula, ada motif anggota haiwan, seperti siput, kepala gajah, mata berkait, tapak anjing dan tapak harimau. Juga kelarai dengan bentuk-bentuk bahagian tertentu ikan, serangga dan unggas. Antaranya ialah anak ikan, belalang cucuk, jari kedidi, mata ketitir, pusat belanak, siku keluang, sisik kelah dan tulang ikan.

Akhir sekali, terdapat bentuk bebas, seperti kelarai belah ketupat, kelarai kisar mengiri, kelarai beras patah dan kelarai madu manis. Dalam membuat kelarai, perkara utama yang diperhatikan ialah jumlah mata atau langkah daripada bilah daun yang digunakan. Jumlah mata menentukan saiz satu-satu corak. Untuk menyerlahkan kelarai, bilah-bilah dicelupkan dua warna yang bertentangan atau berkontras. Misalnya, kuning dan hijau, merah dan ungu, atau putih dan perang. Kadangkala warna ketiga digunakan sebagai tanah atau latar corak. Bilah-bilah berwarna yang dianyam tindih-menindih dan berselang-seli ini akan menyerikan hasil anyaman mengkuang dan pandan.

Anyaman Rotan

Rotan merupakan sejenis tumbuhan palma yang memanjat. Pelbagai jenis rotan tumbuh liar di hutan-hutan nusantara. Antaranya rotan air, rotan bakau, rotan batu, rotan bukit, rotan kera, rotan kolam, rotan manau, rotan sega dan sebagainya. Daripada puluhan jenis itu, rotan batu, rotan manau dan rotan sega dianggap paling baik untuk tujuan pembuatan perabot dan hasil anyaman. Malah, berasaskan potensinya dalam pembuatan perabot, sejak beberapa tahun
kebelakangan rotan manau telah ditanam secara besar-besaran sebagai tanaman komersil sampingan di celah-celah barisan tanaman lain. Hasil anyaman rotan tradisional termasuk bakul, kerusi, lekar, nyiru, raga dan juga alat permainan tradisional seperti sepak raga. Sesuai dengan cara hidup moden, rotan kini semakin popular sebagai kelarai perhiasan, seperti terendak lampu.

Memproses Bahan

Batang rotan yang besar dipotong daripada pokoknya antara dua hingga tiga depa panjang supaya mudah diangkut ke luar hutan. Rotan kecil-kecil pula dipotong setakat yang berguna, kemudian dilingkarkan. Sebelum digunakan, rotan perlu direbus supaya tisunya mati dan kandungan gulanya tersingkir. Ini penting untuk memastikan ketahanan dan mengelakkan serangan serangga seperti bubuk.

Rotan yang siap direbus, dijemur hingga kering. Seterusnya, rotan batang yang ingin dijadikan kerangka perabot diketam dan dipelas kertas pasir sebelum divarnis. Sementara rotan yang mahu dijadikan bilah anyaman terus divarnis sebelum disepat atau dibelah.

Anyaman Ribu-Ribu

Anyaman ribu-ribu Ribu -ribu adalah sejenis paku-pakis yang hidup liar terutama di kawasan belukar yang lembap. Terdapat beberapa jenis ribu-ribu iaitu ribu-ribu biasa, ribu-ribu besar/gajah dan ribu-ribu bukit/duduk atau akar sidin. Kegunaan utama ribu-ribu pada masa dahulu ialah sebagai bahan untuk dijadikan tali. Banyak rumah di Terengganu misalnya menggunakan tali ribu-ribu sebagai pengikat rabung kerana tali jenis ini tahan lama. Tetapi kini kegunaan ribu-ribu hampir terbatas kepada hasil kraftangan sahaja. Barang-barang yang diperbuat daripada ribu-ribu termasuk terendak, bekas tembakau, bekas sirih dan dompet.

Memproses Bahan

Ribu-ribu dipotong di bahagian pangkalnya. Cuma rakis utama yang diambil, yang lurus atau yang menjalar. Cabang-cabang yang tidak diperlukan, dipotong dengan pisau kecil. Kemudian ribu-ribu dibelah dua dan dikeringkan perlahan-lahan dengan menyidainya di tempat yang redup selama beberapa hari. Ini dilakukan untuk memastikan ribu-ribu tidak rapuh atau mudah patah. Menganyam ribu-ribu sama seperti menganyam buluh dan mengkuang. Untuk mengukuhkan anyaman, biasanya buluh atau rotan digunakan sebagai tulang atau kerangka barang yang dihasilkan. Motif-motif yang kerap digunakan dalam anyaman ribu-ribu ialah siku keluang, bentuk jaluran dan bentuk-bentuk geometri. Biasanya, barang-barang yang dianyam mengekalkan warna asli ribu-ribu. Bagaimanapun, perbezaan warna boleh dihasilkan iaitu dengan menyelang-nyelikan warna luar kulit yang lebih gelap iaitu coklat tua, dengan warna dalam kulit, coklat muda. Rata-rata, kraftangan ribu-ribu kini semakin terabai, kecuali di kalangan penduduk Sabah, terutama di sekitar Kampung Inukiran dan Kampung Tinanggol di daerah Kudat.

Anyaman Lidi

Pokok kelapa dikenali sebagai pokok serbaguna kerana semua bahagian pokok ini boleh digunakan. Salah satu bahan kraftangan yang diperbuat daripada pokok kelapa ialah lidi. Berbagai-bagai barangan boleh dihasilkan daripada lidi kelapa. Antaranya, lekar, bakul, tempat simpan telur, bekas buah-buahan dan raga gubahan bunga.

Memproses Lidi

Kraftangan ini bermula dengan kerja meraut dan mengisit daun kelapa yang muda dan panjang untuk mendapatkan lidinya. Lidi yang sudah licin, direbus dengan bahan pewarna dan kemudian dijemur hingga kering. Kini lidi itu sedia untuk dianyam mengikut bentuk yang dikehendaki.

Cara menganyam lidi tidak banyak berbeza daripada cara menganyam rotan bulat. Untuk membuat lekar atau bakul, misalnya, bahagian tapak disusun terlebih dahulu didalam satu bingkai supaya bilah-bilah lidi tidak mudah terungkai. Kemudian hujung lidi dilentur secara berselang-seli dan diselitkan di antara satu sama lain dalam aturan tertentu untuk menghasilkan suatu corak. Seterusnya lidi itu ditarik supaya anyaman tersebut menjadi kukuh. Akhirnya bahagian hujung lidi diselitkan dengan kemas dan bakinya dipotong.

Sejarah

Seni anyaman sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat di nusantara. Daripada tikar hingga kepada dinding pelindung kediaman, hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat di mana-mana. Ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika banyak yang sesuai untuk dijadikan bahan anyaman. Keseluruhannya, kemahiran asas dalam seni anyaman tidak banyak berbeza, cuma bergantung kepada jenis tumbuhan yang dijadikan bahan anyaman. Antara tumbuh-tumbuhan yang paling banyak digunakan dalam seni anyaman ialah buluh, mengkuang, rotan, ribu-ribu dan lidi. Perbezaan ciri tumbuh-tumbuhan ini menghasilkan pelbagai bentuk dan barangan seni anyaman.
Photobucket
Ahli Kelab Pelancongan SMK Pekan II Kota Belud bersama guru penasihat bagi tahun 2010.