Saturday, July 10, 2010

Destinasi Sabah : Taman Bukit Tawau.

Taman Bukit Tawau terletak 24 kilometer dari bandar Tawau. Taman tersebut seluas 27972 hektar yang terdiri daripada hutan dipterocarp berdataran rendah, dikelilingi oleh perkebunan kelapa sawit dan koko. Taman ini menawarkan kawasan berkelah, berkhemah dan rekreasi santai. Taman yang diliputi hutan tebal ini mampu menarik minat pencinta alam dan pelancong samada untuk menjalankan kajian dan penyelidikan atau sekadar datang berkunjung. Klik di sini untuk rujukan.

Pejabat Taman Bukit Tawau

Kawasan Air Terjun

Taman ini menjadi kawasan tadahan air yang penting bagi sungai-sungai utama di daerah ini seperti Sungai Tawau, Merotai, Kinabatangan, Mantri dan Balung. Pokok tinggi serta rendang yang menutupi kawasan itu memberikan laluan kepada pokok kecil hidup subur dan menjadikan kawasan itu lebih nyaman dengan udara bersih. Orkid-orkid tanah pamah juga banyak terdapat di sini dan jenis yang paling menarik ialah Orkid Telinga Gajah. Pastikan anda tidak melepaskan peluang melihat Taman Tanah Pamah, rumah bagi pelbagai himpunan flora yang mengagumkan. Selain mempunyai hutan tebal yang mampu memberi ketenangan, pengunjung yang datang juga pasti terpesona dengan keindahan air terjun semulajadi. Tidak jauh daripada kawasan air terjun itu, ada pula kolam air panas semulajadi yang mempunyai pemandangan indah dan membolehkan pengunjung merehatkan otot serta tulang apabila berendam di dalamnya.


Pondok rehat di atas kolam

Hidupan liar di sini secara umumnya amat sukar untuk didekati. Namun, menurut beberapa laporan yang diterima bahawa kera berekor panjang, tupai putih kuning, musang, monyet merah malahan sekumpulan monyet putih telah kelihatan di sini.

Jalan menuju ke penginapan

Pengunjung boleh membuat pilihan sama ada tinggal di chalet atau rumah persinggahan yang menyediakan kemudahan asas seperti bilik air dan dapur. Bagi yang sukakan cabaran, tapak untuk berkhemah juga disediakan dan letaknya tidak jauh dari sungai. Sungainya bersih dan sangat sesuai untuk berenang. Walaupun mempunyai pemandangan yang cantik, batu-batan di sungai terutama sekali yang berdekatan dengan air terjun amat licin. Ia agak bahaya. Kolam di bawah air terjun juga agak dalam dan melengkung ke dalam. Jika tidak berhati-hati semasa terjun dari atas, kita mungkin terperangkap di bawah batu. Inilah punca kepada banyak kemalangan yang berlaku.Terdapat juga banyak rintis kembara, dan ada yang membawa anda ke kawasan mata air panas dan air terjun.

Info tambahan.

Masa dibuka.
Setiap hari pukul 7 pagi sehingga 6 petang.

Yuran kemasukan.
MyKad (di bawah 18 tahun): RM1.00
Lain-lain (18 tahun dan ke atas): RM10.00
Lain-lain (di bawah 18 tahun): RM6.00

Friday, July 9, 2010

Destinasi Sabah : Simpang Mengayau.

Tanjung Simpang Mengayau adalah sebuah tanjung yang terletak paling utara di Pulau Borneo. Tanjung ini terletak di Daerah Kudat, kira-kira tiga jam setengah pemanduan atau sejauh 215 kilometer dari Bandaraya Kota Kinabalu. Selanjutnya tentang sejarah Simpang Mengayau sila klik di sini.

Simpang Mengayau sememangnya menjanjikan pemandangan yang memukau mempesonakan. Berdiri di hujung tanjung, kita dapat melihat dua lautan iaitu Laut China Selatan di barat dan Laut Sulu di bahagian timur. Di bahagian timur jelas kelihatan Pulau Balambangan dan Karakit dan di bahagian belakangnya pula Pulau Mangsi (sebuah pulau kecil terletak di wilayah selatan Filipina). Anda juga dapat menyaksikan rumah api di Pulau Kalampunian dan Pantai Kalampunian, iaitu pantai yang tercantik di Kudat.

Di penghujung tanjung ini juga merupakan laluan utama kapal dan pedagang dari timur dan barat sejak dahulu. Malahan, tidak jauh dari tanjung berkenaan diletakkan sebuah pelampung oleh pihak Muzium Sabah kerana di situ terdapat bangkai sebuah kapal dagang besar yang tenggelam beberapa dekad yang lampau. Dahulu, Tanjung Simpang Mengayau ditakuti kerana sinonim sebagai tempat persembunyian lanun, tetapi ia kini didekati dan dirapati saban hari lantaran keindahan semulajadi dengan sejarah yang tersendiri.

Foto-foto.


Photobucket
Ahli Kelab Pelancongan SMK Pekan II Kota Belud bersama guru penasihat bagi tahun 2010.